Bersambung dari post yang terdahulu,
Selepas lunch kami bertolak ke arah Bandung Timur dalam suasana hujan lebat. Tempat yang kami akan lawati selepas ini ialah di Jalan Padasuka. Di sini bukan kawasan untuk bershopping tapi merupakan tempat kebudayaan masyarakat Sunda.
Menunggu persembahan dimulakan
Ianya dipanggil Saung Angklung Udjo. Semasa kami sampai lebih kurang pukul 2 petang hujan masih turun lebat. Sibuk Pak Budi mencarikan kami payung. Barisan bas-bas pelancung tersusun di perkarangan kawasan parkir. Ramai pelancung asing seperti dari Amerika, British dan German hadir ke sini untuk melihat dan menikmati persembahan angklung.
Gelanggang pertunjukan angklung
Setiap hari akan diadakan sekurang-kurangnya 3 pertunjukkan. Pertunjukkan ini dijayakan oleh kanak-kanak. Yes,, kanak-kanak, pada sebelah pagi mereka ke sekolah harian dan disebelah petang mereka datang ke sini untuk belajar angklung dan melakukan pertunjukkan angklung. Itu yang paling unik di sini. Hari masih awal untuk pertunjukkan selanjutnya jadi kami berehat sambil minum kopi herba yang dihidangkan. Untuk menyaksikan persembahan di sini anda perlu membeli tiket. Dewasa lebih kurang RM 35 dan kanak-kanak separuh harga. Semua kutipan dari tiket akan digunakan untuk membiayai fasiliti Saung Angklung Udjo ini. Persembahan selanjutnya akan dijalankan pada pukul 3 petang nanti.
Kanak-kanak bernyanyi sambil bermain angklung, Istilah menyanyi tidak tepat pada pendapat aku ianya lebih kepada jeritan dan teriakkan kanak-kanak.
Saung Angklung Udjo (SAU) adalah suatu tempat kebudayaan, yang merupakan tempat pertunjukan, pusat kraftangan tangan dan workshop instrument musik dari buluh. Selain daripada itu, SAU mempunyai tujuan sebagai pusat mendidik dan pusat belajar untuk memelihara kebudayaan Sunda khususnya angklung.
Pertunjukkan majlis berkhatan masyarakat Sunda. Mereka meraikan upacara untuk kanak-kanak di atas tandu tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 1966 oleh Udjo Ngalagena dan isterinya Uum Sumiati, bertujuan untuk melihara seni dan kebudayaan tradisional Sunda. Yayasan ini sekarang diterajui oleh anaknya Daeng Udjo yang sebentar lagi akan mengajar kami cara-cara bermain angklung.
Setiap seorang mendapat satu angklung untuk digunakan.
Disamping pertunjukan rutin setiap petang, Saung Angklung Udjo telah banyak kali mengadakan pertunjukan khusus yang dilakukan pada pagi atau siang hari. Pertunjukkan tersebut tidak terbatas diadakan di lokasi Saung Angklung Udjo saja, tetapi berbagai undangan tampil di berbagai tempat baik di dalam mahupun di luar negeri.
Daeng Udjo
Cara pembelajaran yang ringkas dan interaktif menjadikan kami semua pakar angklung dalam masa 15 minit sahaja. Berbagai lagu yang kami mainkan seperti lagu Burung kakak Tua, Kue Sera Sera dan beberapa lagu lagi.
Angklung merupakan alat muzik satu oktaf setiap satu. Tiga tiub membentuk satu oktaf atau kord. Apabila digetarkan setiap alat akan hanya menghasilkan satu nada. Disebabkan setiap alat menghasilkan satu nada ia memerlukan sekumpulan angklung bagi menghasilkan satu irama yang lengkap. Anglung moden seperti dalam gambar di atas sudah dijadikan "diatonis" sama seperti organ dan boleh memainkan semua jenis lagu tanpa batasan cord lagi.